Friday, 19 August 2011

Ketenangan Jiwa Rohaniah

Ketenangan jiwa atau rohaniah merupakan sumber penting dalam menentukan kehidupan manusia. Apa yang dimaksudkan dengan jiwa itu adalah qalb (hati) menurut istilah agama. Apakah pula yang dimaksudkan dengan jiwa (hati) yang tenang, muthmainnah itu?

Fakhrur Razy, ahli tafsir tersohor pernah menghuraikan dalam Tafsir Kabir, bahawa jiwa (hati) manusia itu memang hanya satu, tetapi sifat-sifatnya banyak dan bermacam-macam. Apabila hati itu lebih condong kepada nilai-nilai Ketuhanan dan mengikuti petunjuk-petunjuk Ilahi, maka ia bernama nafsu muthmainnah, jiwa yang tenang dan tenteram. Jika ia condong kepada hawa nafsu dan marah maka ia dinamakan ammarah bissui, iaitu hati yang dipenuhi oleh kejahatan. (Tafsir Ar-Razi)

“Wahai jiwa yang tenang tenteram! Kembalilah kepada Tuhanmu, merasa senang (kepada Allah) dan Allah senang pula kepadanya. Masuklah dan berkumpul bersama-sama hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (al-Fajr: 27-28)

Sebelum ini, telah disebutkan kepada kita bahawa dengan zikrullah itu hati kita akan tenang dengan perkara-perkara dunia. Ia membawa maksud selagi hati kita dapat terhubung dengan Allah SWT, nescaya diri kita tidak dapat dipengaruhi dengan perkara-perkara dunia yang melalaikan serta menyusahkan. Begitulah yang kita diberitahu.

Namun, bagaimana boleh dihubungkan kedua-duanya iaitu dengan zikrullah, boleh kita dapat ketenangan dunia? Bagaimana zikrullah itu boleh menenggelamkan rasa bimbang, risau, cemas dan takut kita kepada perkara dunia? Mana tidaknya, sakit, miskin, hilang jawatan, dimaki atau dicerca orang, dan berbagai lagi musibah dunia, bukankah ia menyusahkan? Bukankah itu menggugat hati sehingga datang bimbang, cemas dan takut? Oleh itu marilah kita perhatikan hubungkait antara keduanya agar benar-benar kita faham bagaimana zikrullah boleh menjadi penawar kepada kesusahan dunia.

Mengimbas kembali peperangan Badar, di mana kekuatan pasukan kaum musyrikin tiga kali ganda daripada kaum Muslimin, dengan persenjataan yang lebih lengkap, maka dengan mengingati kepada Allah (zikrullah) itulah yang melahirkan ketenangan dan kekuatan jiwa pasukan Islam.

Pada saat itu Rasulullah s.a.w memohonkan doa, yang bermaksud:

“Ya Allah, bala tentera Quraisy yang lengkap dan teguh datang menyerbu untuk mendustakan Rasul-Mu. Ya Allah! Berikanlah pertolongan yang telah Engkau janjikan. Ya Allah! Kalau tidak Engkau hancurkan kekuatan musuh itu, maka sesudah ini tidak ada orang lagi yang akan menyembah Engkau.”

Doa Rasulullah itu yang berlandaskan zikrullah, pada saat-saat yang genting itu, diperkenankan Allah, sehingga akhirnya pasukan musuh yang kuat itu mengalami porak-peranda dan kemenangan berpihak kepada kaum Muslimin. Allah s.w.t mengirimkan bala bantuan 1000 malaikat yang menghancurkan barisan musuh sebagaimana yang tergambar di dalam al-Quran, yang bermaksud:

“Ketika kamu memohonkan pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya, dengan frman-Nya: ‘Sesungguhnya Aku menolong kamu dengan seribu malaikat yang berbaris dan teratur. Tuhan melakukan semua itu sebagai berita gembira dan supaya hatimu tenteram. Dan pertolongan itu hanya datang dari sisi Allah’.” (al-Anfal: 10)

Di sini, zikrullah itu membawa pengertian mengingati Allah dalam ertikata yang hati itu dapat menghayati sifat-sifat dan peranan Allah SWT. Dibawakan contoh, katakan seorang itu miskin. Dia selalu kesempitan wang. Dia nak makan pun susah. Nak belanja-belanja keluarga pun susah. Tapi, oleh kerana hatinya sudah menghayati Rasa BerTuhan, dia dapat merasakan Allah SWT Maha Pemberi Rezeki. Pada Allah SWT, dia bertawakal. Dengan bersandarkan pada sifat Allah SWT Maha Pemberi Rezeki, dia jadi yakin. Dia jadi orang yang boleh tenang menghadapi kemiskinan. Dia tahu rezeki Allah SWT itu luas dan Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya. ?InsyaAllah, Tuhan ada, Dialah yang Maha memberi rezeki?, kata hati kecilnya. Dia berusaha juga tapi dia tidak bergantung pada usahanya. Baginya rezeki Allah SWT ada di mana-mana dan sudah ditetapkan bahagian untuk orang sepertinya.

Contoh lain, seorang itu jatuh sakit. Sakit itu menyusahkan. Boleh jadi tidak tenang dengan sakit apatah lagi makan minum serta tidur selalu terganggu. Malah kerja harian juga terganggu dan di waktu tertentu hendak bersembahyang pun terganggu juga. Namun, seorang yang berzikrullah, dapat merasakan Allah SWT yang memberi sakit dan Dialah yang menyembuhkan. Rasa itulah yang memberi penawar kepada kesusahan sakitnya selama ini. Dia jadi tenang atas kerana yakin Al-Haq yang memberi sakit dan Allah SWT jugalah yang akan menyembuhkan. Sudah pasti keyakinan itu menjadikan dia faham maksud Allah SWT memberi sakit kepadanya.

Sudah pasti juga dia faham bahawa kalau TAllah SWT kehendaki, bila-bila masa Allah SWT boleh sembuhkan. Tinggal lagi yang menjadi soal bukan tempoh lama atau sekejapmasa sakit, atau soal ringan atau berat ujian sakit. Soalnya adalah sejauhmana kuat hubungannya dengan Allah SWT sehingga sakit itu boleh menjadi hiburan kepadanya. Sakit bukan sakit lagi tetapi dirasakan sebagai hiburan dari Tuhan kepada hambanya.Yang paling besar juga, kesusahan dalam miskin dan sakit itu boleh dihadapi dengan tenang kerana dia sudah merasa dirinya itu dimiliki Tuhan.

Inilah sebahagian daripada zikrullah. Rasa dimiliki Tuhan ini membuatkan seseorang itu menyerah hati dan dirinya kepada Allah SWT. Dia merasakan Allah SWT boleh buat apa sahaja terhadap dirinya kerana dia adalah milik Al-Haq. Sebagai hamba Tuhan yang dimiliki Tuhan, terpulanglah kepada Allah SWT nak sakitkan, nak miskinkan atau nak susah-susahkan hidupnya di dunia. Berhak bagi Allah SWT berbuat begitu.

Hatinya boleh berkata, ?tidak sekali-kali bagi seorang hamba boleh menolak apa sahaja ketentuan dari Tuhannya.? Berbahagialah orang yang boleh merasakan sedemikian. Di situlah datangnya ketenangan kepada orang seperti itu. Asasnya adalah zikrullah tadi.

Begitulah kisahnya, jika seseorang sudah dapat menghayati sifat Tuhan Rafiqul A'la . Hatinya akan sentiasa dalam ketenangan bilamana menghadapi perkara-perkara dunia yang melalaikan serta menyusahkan. Hatinya tidak cacat atau terpengaruh dengan dunia tersebut disebabkan kuat rasa-rasa hatinya dengan Rasa BerTuhankan Rafiqul A'la. -Allahu Haq.

No comments:

Post a Comment

takkan baca jer....komen la sikit :)