Monday, 12 December 2011

Amal Semangat Hijrah




TANGAL 17 November lalu, saya bersama beberapa rakan jemaah haji diizinkan Allah mendaki Jabal Thur di Kota Makkah.
Berdasarkan sejarah, bukit itu turut tersenarai sebagai kawasan penting dalam kalendar Hijrah umat Islam kerana di sini antara tempat bermulanya kisah hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Kota Madinah.

Bukit itu menjadi tempat Rasulullah SAW menyembunyikan diri bersama Saidina Abu Bakar ketika menghadapi ancaman bunuh puak kafir Kuraisy.
Keadaan pada waktu itu dikatakan sangat genting berikutan ancaman mereka sehingga terdetik perasaan gementar dan sedih di hati Saidina Abu Bakar.

Kemudian, lantaran keadaan pada waktu itu, turun wahyu daripada Allah melalui ayat 40 surah at-Taubah untuk menenangkan Saidina Abu Bakar yang bermaksud: “...Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama-sama kita...” Sepanjang tempoh persembunyian itu, bukit ini juga menjadi saksi pengorbanan Saidina Abu Bakar yang disengat binatang berbisa hanya kerana mahu melindungi Rasulullah.

Begitulah hebatnya ujian yang terpaksa ditempuh Rasulullah SAW dan sahabat demi memartabatkan Islam di muka bumi Allah ini.

Walaupun mendaki Jabal Thur tidak tersenarai sebagai ibadah khusus atau amalan sunat yang digalakkan, bagi mereka yang berkeupayaan, pengalaman itu sesuatu yang berharga.

Malah, sewaktu mendaki, saya berasa sangat bertuah kerana bersempena Maal Hijrah yang disambut hari ini, saya berkesempatan menziarahi antara tempat penting dalam peristiwa Hijrah Rasulullah.
Saban tahun, apabila bermulanya takwim baru dalam kalendar Islam, kita pasti dengar ramai orang sibuk bercerita mengenai hijrah.

Pelbagai definisi hijrah diberi mengikut idea masing- masing yang disesuaikan dengan peredaran zaman.

Ketika inilah kisah hijrah Rasulullah disingkap kembali dengan penuh semangat dan berkobar-kobar. Namun sangat malang, kerana selepas dua atau tiga hari, semangat ini hilang dan berlalu begitu saja.

Inilah realiti yang berlaku dalam dunia serba canggih hari ini. Semuanya disambut secara bermusim, tidak ubah seperti pepatah Melayu, ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Tidak keterlaluan jika dikatakan sambutan ini lebih daripada sekadar adat. Namun, pada pandangan saya, lebih elok jika kita dapat menerapkan dalam diri kita semangat hijrah ketika menyambut Maal Hijrah supaya tidak luntur begitu saja.

Namun, tidak bermakna saya terlalu ‘sarkastik’ dalam sambutan Maal Hijrah kerana saya cuba mengetengahkan semangat hijrah Rasulullah SAW daripada sudut berbeza.

Jika dilihat maksud hijrah itu sendiri, secara literalnya merujuk kepada peristiwa perpindahan Nabi SAW dan kaum Muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah dalam usaha baginda meluaskan empayar dakwah Islam.

Tiada lagi hijrah selepas peristiwa ini, sesuai dengan hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: “Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah) tetapi yang ada hanya jihad dan niat. Maka apabila kamu dikerah untuk berjuang, segeralah menyahutnya.” Jika diteliti kepada bahagian pertama hadis di atas, jelas tiada lagi ‘hijrah’ bagi umat Islam selepas pembukaan kota Makkah.

Namun, Rasulullah memperluaskan maksud dan konsep hijrah pada bahagian kedua dengan menyatakan, niat dan kesediaan berjihad untuk Islam juga dianggap satu cabang hijrah.

Namun, malang bagi umat Islam hari ini yang dimomokkan oleh propaganda musuh Islam mengenai konsep jihad di dalam Islam. Jihad lebih digambarkan sebagai sesuatu perlakuan ganas oleh mereka yang digelar pengganas.

Lebih malang lagi, ramai di kalangan umat Islam hari ini ‘termakan’ dengan propaganda jahat ini, lantas menggambarkan betapa kejamnya agama Islam itu.

Namun, siapa patut dipersalahkan kerana sememangnya wujud kumpulan yang terlalu ekstrem. Mereka sebenarnya kurang faham mengenai kesyumulan (kesempurnaan) agama Islam dalam aspek kehidupan, lantas menjalankan kegiatan yang mengancam keselamatan orang lain.

Saya ingin membawa pembaca melihat maksud hijrah, jihad dan niat daripada kaca mata berbeza. Hijrah secara dasarnya membawa maksud lebih besar daripada sekadar ‘perpindahan’ kerana perkataan hijrah itu mempunyai maksud tersendiri.

Hijrah lebih menjurus kepada perkara membabitkan kebaikan. Justeru ini, mereka yang berubah kepada sesuatu yang lebih disukai Allah juga termasuk kategori hijrah.

Saya tertarik dengan perkembangan semasa industri hiburan tanah air apabila ramai artis wanita mula menjinakkan diri dengan mengenakan hijab (tudung) sebagai pakaian mereka.

Bagi saya, ia perkara sangat positif dan menggembirakan kerana mereka adalah ikon kepada remaja di negara kita. Cuma masalahnya, ada segelintir masyarakat kita yang selalu sinis dengan ‘hijrah’ yang dibawa oleh mereka.

Ada saja kesalahan dicari. Bermula dengan mempersoalkan keikhlasan ‘penghijrahan’ berkenaan hinggalah mempersoalkan gaya tudung mereka.

Islam itu mudah, tidak sekali-kali menyusahkan umatnya. Namun, bukan bermaksud kita boleh sesuka hati mempermudahkan segala-galanya.

Berilah mereka peluang dan biarkan mereka berubah perlahan-lahan. Jangan sekali-kali memberi persepsi bahawa Islam itu terlalu keras.

Kemahuan untuk berhijab itu sendiri adalah usaha mereka mencari hidayah Allah.

Penghijrahan mereka juga boleh dikategorikan sebagai ‘jihad kecil’ dengan mengambil kira faktor mereka melawan hawa nafsu. Bukan mudah untuk meninggalkan cara pemakaian yang sebati dengan jiwa mereka.

Apatah lagi kesediaan golongan ini untuk menghadapi pelbagai respons oleh masyarakat di luar. Rasulullah SAW bersabda melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, bermaksud: “Orang yang berjihad adalah orang yang melawan hawa nafsunya.” Kadangkala, apa yang kita anggap betul tidak semestinya benar.

Ia mungkin dapat dijelaskan melalui peristiwa di dalam hadis daripada Abdullah bin Mas’ud, di mana beliau berkata: “Aku mendengar seorang lelaki membaca 10 ayat al-Quran tetapi qiraat (bacaan) orang itu berbeza daripada qiraat yang pernah aku dengar daripada Rasulullah SAW.

“Lalu aku khabarkan hal itu kepada Rasulullah dan aku melihat kebencian pada wajah baginda dan baginda seraya bersabda: “Kedua- duanya adalah baik. Janganlah kalian berselisih.” (Riwayat Bukhari) Jika difahami maksud hadis di atas, perselisihan sebenarnya berlaku pada hal membabitkan qiraat (bacaan) dan bukan menyentuh hukum-hakam yang merubah struktur asal ayat al-Quran. Perbezaan lebih menjurus kepada penduduk di sesuatu tempat yang sukar merubah loghat mereka ketika membaca al-Quran.

Sama juga dengan situasi diceritakan di atas kerana isu utama yang dibicarakan lebih menyentuh kepada soal cara pemakaian hijab itu.

Namun secara peribadinya, saya juga tidak bersetuju jika fesyen dikenakan berlebih-lebihan sehingga merosakkan imej Islam, seperti mengenakan hijab dengan pakaian ketat. Maka, berpada-padalah ketika berfesyen.

Berbalik kepada hijrah, ia sebenarnya mempunyai terlalu banyak cabangnya untuk dikupas dengan lebih mendalam. Namun yang penting, ambillah semangat hijrah itu untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian.

Sentiasalah berusaha mencari hidayah Allah. Barulah Allah membukakan jalan untuk kita ‘berhijrah’.

No comments:

Post a Comment

takkan baca jer....komen la sikit :)