Monday, 12 December 2011

Tawakal selepas usaha



“SAYA dah berusaha kumpul duit untuk sampai ke Makkah ni, harapnya sihatlah sampai pulang ke Malaysia nanti, tawakal aje la...”. Itu salah satu dialog yang tiba-tiba terkeluar apabila saya berbual dengan seorang jemaah haji di Tanah Suci baru-baru ini.
Namun pada masa sama, dia mempersoalkan tindakan saya yang memakai topeng hidung dan mulut bagi mengelak dimasuki debu. Baginya, saya tidak sepatutnya terlalu berlebihan dalam menjaga kesihatan kerana Allah yang sebenarnya memelihara kesihatan kita di Tanah Suci ini.

Secara tidak langsung, ia membawa maksud bahawa Allah akan memberi kesihatan kepada mereka yang sampai ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji. Justeru, kita hanya perlu bertawakal kepada Allah.
Dalam Islam, tawakal bermaksud berserah diri kepada Allah dan berpegang teguh kepada-Nya dalam perkara wajib sebagaimana perintah Allah SWT di dalam surah al-Imran ayat 122 yang bermaksud: “Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).” Definisi tawakal menurut kacamata ulama tersohor dunia, Prof Dr Yusuf Al-Qardawi pula ialah, apabila seorang manusia menyusun dan mengatur persiapan, persediaan, strategi dan daya usaha. Kemudian dia menyerahkan hasilnya kepada Allah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, bahawa pada zaman Nabi Muhammad SAW dulu, ada seorang Arab Badawi yang datang ke masjid dan meninggalkan untanya tanpa diikat. Kemudian dia terus masuk ke masjid dan menganggap tindakannya itu sebagai tawakal kepada Allah.

Rasulullah yang melihat kejadian berkenaan segera datang kepadanya dan bersabda: “Ikatlah unta itu dan bertawakallah kepada Allah.” Salah faham mengenai konsep tawakal ini dapat dilihat dalam lapisan masyarakat pada hari ini. Malah, saya juga secara tidak sedar pernah menyalah erti maksud tawakal itu sendiri.

Sewaktu menuntut di universiti, saya pernah kehilangan komputer riba yang diletakkan di dalam masjid. Ketika berkejar untuk solat berjemaah, saya letakkan beg galas yang mengandungi komputer riba berkenaan di tepi dinding masjid dan terus masuk ke dalam saf. Sangkaan saya tentulah tiada orang yang berniat jahat untuk mengambil komputer riba itu di rumah Allah ini, tambahan pula ia disimpan di dalam beg biasa.

Tetapi, selesai solat, saya lihat beg itu sudah tiada di tempatnya dan mula menggelabah mencari di sekitar masjid. Baru saya sedar bahawa pencuri tidak memilih tempat untuk mencuri.
Itulah salah satu contoh salah faham mengenai konsep tawakal. Seharusnya saya berikhtiar dengan meletakkan beg itu di hadapan saya ketika solat dan kemudian baru bertawakal. Samalah juga seperti senario jemaah haji yang menegur saya memakai topeng penghalang debu di atas.

Apa akan jadi sekiranya kita ditakdirkan tidak sihat untuk melakukan ibadah di Tanah Suci ini sedangkan peluang untuk berada di Tanah Suci ini adalah sesuatu yang amat istimewa. Pastinya, jika terlantar sakit dan hanya mampu berehat di kamar hotel, si fulan ini mungkin akan berkata pula; ”Nak buat macam mana, Allah tak izinkan aku untuk beribadah.” Secara tidak langsung, kita meletakkan beban kesalahan itu kepada Allah iaitu secara tidak sedar Allah yang memberinya sakit, justeru Allah seharusnya dipersalahkan. Kerana itu sebagai manusia yang diberikan akal, kita perlu berikhtiar. Tawakal bukan bermaksud menyerahkan diri kepada Allah secara pasif, sebaliknya tawakal kepada Allah menuntut kepada daya usaha dan ikhtiar. Tawakal juga hendaklah seiring dengan usaha.

Dengan erti kata lain, tawakal perlu ada dalam setiap keadaan sama ada sebelum atau selepas berusaha dan kemudian barulah tawakal itu menepati apa yang dimaksudkan oleh Islam.

Kita ambil contoh konsep tawakal dalam berniaga pula. Katakan seorang peniaga makanan itu berusaha mengumpul modal membuka restoran, mempelajari pelbagai resipi masakan, membeli perkakas dapur dan akhirnya berjaya membuka restoran.

Tetapi, malangnya masih tiada pelanggan yang berkunjung ke restorannya dan akibat terlalu kecewa, dia menyalahkan takdir dengan berkata: “Dah macam-macam aku buat, penat aku berusaha nak buka restoran ni, tapi Allah tak buka pintu rezeki untuk aku berniaga. Aku sememangnya tiada bakat untuk berniaga.” Masalahnya di sini, adakah cukup dengan hanya membuat persiapan untuk membuka restoran saja? Bagaimana pula dengan usaha untuk memasarkan produk yang disediakan oleh restoran berkenaan.

Sepatutnya peniaga ini perlu belajar pula mengenai teknik yang betul untuk memperkenalkan restorannya dengan membuat pelbagai promosi untuk menarik orang ramai. Untuk mempelajarinya, peniaga itu seharusnya mengambil ikhtiar dengan belajar daripada seorang yang pakar.

Saya tertarik untuk berkongsi kisah antara Imam Abu Hanifah dan seorang lelaki yang terkenal dengan sikap malas. Suatu hari, sewaktu Imam Abu Hanifah berjalan melintasi rumah seorang miskin, dia terdengar keluhan lelaki itu: “Aduhai, alangkah malang nasib ini, tiada yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini, sejak pagi tiada seorang pun yang sudi memberi curahan air walaupun setitik.” Imam Abu Hanifah yang mendengar keluhan itu kemudiannya mencampakkan bungkusan kecil yang mengandungi wang. Namun keesokannya, Imam Abu Hanifah sekali lagi melintasi rumah si miskin itu dan terdengarlah pula keluhannya: “Ya Allah Yang Maha Belas Kasihan, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti semalam, sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh jika tidak Tuhan beri, akan lebih sengsaralah hidupku.” Sekali lagi Imam Abu Hanifah mencampakkan bungkusan yang mengandungi wang, tetapi kali ini dengan nota: “Hai sahabat, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian ‘malas’ namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak reda Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. “Jangan berbuat demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak sepatutnya duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. “Allah tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan memenuhi doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedaya mungkin dengan pertolongan Allah. Insya-Allah, kamu akan dapat memiliki pekerjaan selama kamu tidak berputus asa.” Sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan tawakal. Sesuatu yang perlu kita muhasabah selalu, adakah sudah cukup dengan ikhtiar dan usaha yang kita lakukan untuk sesuatu perkara mahupun atas sesuatu yang menimpa diri kita? Atau adakah kita termasuk dalam golongan orang yang menyalahkan Allah dan takdir secara tidak sedar. Renung-renungkanlah.

No comments:

Post a Comment

takkan baca jer....komen la sikit :)