Friday, 13 June 2014

Keagungan Malam Nisfu Syaban

Keagungan Syaaban adalah dengan kedatangan malam ke-15, iaitu malam Nisfu Syaaban, malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan.

Sabda Rasulullah : “Apabila tiba pada malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana sesungguhnya Allah turun (merahmati hamba-hamba-Nya) pada waktu itu mulai terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah SWT berfirman:
“Siapa yang memohon keampunan maka aku akan mengampunkannya, siapa yang meminta rezeki, maka aku akan kurniakan kepadanya rezeki, siapa yang ditimpa bala aku akan melepaskannya.

Adakah daripada kalangan mereka begini dan adakah daripada kalangan mereka begini (berturutan pertanyaan daripada Allah) sehingga terbit fajar?” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Kelebihan Malam Nisfu Syaaban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu’az bin Jabal r.a; Rasulullah  bersabda: 
“Sesungguhnya Allah  SWT akan memerhatikan hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban, maka Allah akan mengampunkan penghuni dunia melainkan dua golongan manusia;
musyrik (orang yang menyekutukan Allah SWT) dan musyabin (orang yang saling benci membenci).” (HR Ibnu Majah, At-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

Pada malam Nisfu Syaaban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menurut Imam Asy-Syafie dalam kitabnya al-Umm telah berkata: ‘Telah sampai pada kami bahawa dikatakan:
sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu:
pada malam Jumaat,
malam Hari Raya Adha,
malam Hari Raya Aidil Fitri,
malam pertama di bulan Rejab dan
malam Nisfu Syaaban.’ Bulan Sya’aban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya.

Malam Nisfu Syaaban juga dipanggil:

- Lailatul Mubarakah (malam keberkatan),
- Lailatul Baraah (malam pelepasan),
- Lailatul Qismah wal-taqdir (malam pembahagian dan penentuan)
- Lailatul Takfir (malam mengkifaratkan dosa).
- Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa),
- Lailatul Syafaah (malam syafaat)
- Lailatul Idil Malaikah (malam raya malaikat).
- Lailatul Hayat (malam hidup), iaitu malam yang tidak dimatikan apabila seseorang menghidupkan malamnya.

Terbuka Pintu Langit Pada Malam Nisfu Syaaban, pintu langit dan pintu rahmat dibuka dan Allah mengampunkan orang yang tidak mensyirikkannya. Riwayat menyatakan pada malam Nisfu Syaaban akan terbuka segala pintu langit.

No comments:

Post a Comment

takkan baca jer....komen la sikit :)